Kepada orang orang malas tetapi ada impian nak exercise (sama dengan saya), jika anda tinggal di sekitar Nilai, Bandar Seri Putra atau Bukit Mahkota, anda boleh datang ke Taman Tasik Ujana di Nilai Impian. Taman tasik ini terletak kurang dari 1 kilometer dari tollgate Nilai untuk lebuhraya PLUS (Projek Lebuhraya Utara Selatan).
(Link) https://g.co/kgs/3Ty3tQx – Google Maps untuk ke Taman Tasik Ujana, Nilai Impian
Kenapa saya kata Taman Tasik Ujana ni sesuai untuk orang malas?
1. Satu Pusingan Hanya 1.1 Kilometer Sahaja

Trek untuk anda berjalan di Taman Tasik Ujana Nilai Impian ini hanyalah 1,100 meter sahaja untuk satu pusingan, sangat pendek. Kalau anda berjalan dengan kelajuan normal, anda hanya perlukan dalam 15 hingga 20 minit sahaja untuk menyempurnakan 1 pusingan. Jadi kalau anda datang pada jam 6 petang hingga 7 petang, anda boleh complete-kan sebanyak 4 pusingan.
Jadi bila balik rumah, ahli ahli di rumah tanya “Berapa pusingan harini?“, dengan bangganya boleh jawab “4 pusingan penuh!“
Cuba bandingkan dengan trek jogging di Tasik Putrajaya? Jauh beza kan!
2. Bentuk Muka Bumi Taman Ini Flat Sahaja

Ini adalah poin yang paling penting untuk diri saya sendiri, dan saya yakin ramai juga orang – orang yang malas yang mengetengahkan poin ini juga. Andai kata bentuk muka bumi Taman Tasik Ujana ni sama dengan Taman Awam Nilai (Desa Cempaka Nilai) yang berbukit bukau, mungkin saya juga malas nak datang. Sebabnya memang memenatkan nak naik dan turun bukit!
Kalau anda berniat nak mengecam poin ini, anda patut berhenti membaca secepat mungkin. Artikel ini adalah untuk orang – orang malas yang berkeinginan nak exercise sahaja.
3. Tiada Anjing Liar

Telah saya perhatikan beberapa lama, di Tasik Ujana ni memang tak ada anjing liar yang berkeliaran. Agak pelik juga sebab di sekeliling tempat ini tak ada fencing yang memagar perimeter, tapi memang tak ada anjing liar. Yang ada hanyalah burung – burung yang singgah mendapatkan makanan dari pelawat pelawat yang datang.
Apa pentingnya poin ini kepada orang – orang malas? Bila tiada anjing liar, bermakna tiada risiko untuk anda dikejar anjing liar (atau haiwan liar lain seperti monyet). Jika dibandingkan dengan Taman Awam Nilai (Di Desa Cempaka Nilai), disana ada anjing liar (walaupun mungkin jinak sebab saya sendiri pun tak pernah dikejar) dan pernah juga saya nampak ada monyet.
4. Tempat Parking Kereta Dekat

Sebenarnya ini adalah poin yang sangat common. Banyak taman taman awam di Malaysia ni, tempat parking keretanya memang dekat. Dan yang penting, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) tak saman di parking lot di sekitar Taman Tasik Ujana ni.
Tapi tak tahu lah, mungkin juga tak lama lagi mereka akan mula saman di parking lot di sini juga kan.
5. Ramai Yang Berjalan, Tidak Berlari.

Di Taman Tasik Ujana ni, lebih ramai orang yang berjalan dari mereka yang berlari. Tetapi, apa yang membuatkan kondisi ini jadi lebih menarik? Dari ramai yang berjalan tu, lebih ramai yang tak berjalan!
Ramai yang duduk di tepi tasik sambil menikmati pemandangan, ada juga yang bawa makanan sambil bersantai diatas tikar sambil menikmati sandwic. Tak dilupakan juga para pelajar yang datang berdua – duaan untuk berdating, dan juga ramai yang datang untuk melepak sambil bagi makan kat burung dan ikan yang ada dalam tasik.
6. Banyak Makanan Dijual Ditepi Jalan
Poin ini paling tak bagus sebenarnya untuk kita kita yang sedang berusaha kearah kehidupan yang lebih sihat. Tapi, kebanyakan orang malas memang suka makan (macam saya juga), di Taman Tasik Ujana ni memang banyak jualan makanan dan minuman. Contohnya aiskrim, jelly balls, air balang, air kopi hipster dan juga cendol pun ada.
Saya kurang berminat nak upload gambar peniaga peniaga makanan disini, takut nanti mereka saman saya pulak!
Macammana, menarik untuk dicuba? Jom. Klik sini untuk location Taman Tasik Ujana di Nilai Impian, Negeri Sembilan.